SELARI IDENTITI DENGAN KEHENDAK ILAHI

Suatu petang sekumpulan anak-anak sekolah rendah dan beberapa orang dewasa sedang membuat aktiviti mewarna.

Sedang asyik memberi warna kepada lukisan rumah masing-masing, seorang anak lelaki pintar, bertanya, “apa warna favorite kak?”

“Hijau, sebab Rasulullah SAW suka warna hijau..”

Dia membalas, “kenapa nak ikut warna kegemaran orang lain? kita kan kenalah ada kegemaran kita sendiri.. identiti kita..” dia mengomel sambil teruskan aktiviti mewarnanya, tidak mengharapkan jawapan tetapi meninggalkan seorang dewasa sejenak terkesima.

“Kerana Rasulullah SAW bukan sembarangan ‘orang lain’, tetapi baginda SAW ialah kekasih Allah SWT, utusan Ilahi yang menjadi teladan kepada manusia seantero alam. Sebaik-baik ciptaan Allah dengan seindah-indah pekerti, paling sempurna dalam segenap sudut hidup manusia.”

Oleh sebab itulah kita mahu berusaha mencontohi Rasulullah SAW sedaya upaya kita. Apa yang baginda SAW sukai, kita mahu sukai. Apa yang baginda SAW benci, kita juga benci. Siapa yang baginda sayang dan muliakan, kita sayangi dan beri kemuliaan. Bukan kerana kita tidak boleh punya identiti sendiri, tetapi identiti kita harus selari dengan keredhaan Ilahi yang mahu kita cari, dan Allah SWT telah berfirman bahawa sesiapa yang mencintaiNya perlu mencontohi Rasulullah SAW.

Dari Rasulullah SAW kita belajar sebaik-baik akhlak, selengkap-lengkap etika dan moral.

Bukan dari mana-mana Tom, Dick, and Harry . Misalnya dalam bab etika di meja makan, dahulukan makanan yang paling dekat dengan kita. Jangan membazir makanan, kerana membazir amalan syaitan.

Hanya kerana Tom, Dick, and Harry , kata “eh cool lah buang-buang makanan, macam orang kaya gitu, kelas kau”, kita jangan terikut-ikut membuang makanan sebab mahu diterima Tom, Dick, and Harry . Begitu juga dalam bab berpakaian, tutur kata, bermuamalat dalam perniagaan, mengetuai pasukan, segala-galanya.

Dari mana kita ambil senarai moral kita, kalau bukan berpandu Al-Qur’an dan Sunnah Baginda SAW?

Sedangkan seorang Kristian bisa menghargai kesempurnaan baginda SAW yang meletakkan Muhammad SAW di tempat pertama dalam senarai ‘Manusia Paling Berpengaruh’, bagaimana kita seorang Muslim gagal meletakkan baginda SAW di tempat yang sepatutnya?

Jangan tinggalkan Rasulullah SAW dalam majlis Maulid setahun sekali, sedang hari-hari lain kita lupakan ajaran baginda SAW.

Kita mungkin masih jauh dari kesempurnaan baginda Muhammad SAW, tetapi kita tak perlu putus asa dan berhenti berusaha hanya kerana kita banyak cela.

Tidak ada lain yang kita cari, melainkan penerimaan dari Ilahi setelah kita kembali.

Jangan jual prinsip kebenaran, demi dunia yang terlalu murahan.

Dan dari Rasulullah SAW, kita teladani setinggi-tinggi kekuatan untuk menentang kebatilan yang menguasai dunia kejahilan.

Semoga Allah pandu kita sentiasa, amiin.