BERSIAPLAH

Sepotong puisi ialah persembunyian terbaik seribu cerita duka. Sebaris kata-kata tersusun menjadi melodi yang menyimpan birat luka yang tak terlihat di mata.
Tidak ada yang tahu di sebalik karya nan indah ialah kepahitan demi kepahitan yang telah kita adunkan menjadi hidangan paling manis untuk dikongsikan. Tidak ada yang tahu di sebalik kemurnian sebuah perjuangan ada keperitan demi keperitan seorang manusia yang juga jatuh ke ranjau kesilapan lalu menikam sukma dengan sangat kejam.
Tidak ada yang tahu, dan tidak ada yang perlu tahu.
Kerana begitulah pentas dunia.
Tidak ada sutradara yang tidak mahu pementasannya sempurna tanpa cela. Begitu juga tidak ada fotografer yang tidak mahu fotonya berjaya dengan bergaya.
Dan kita, sang penonton setia, akan bertepuk tangan, di atas setiap kesempurnaan yang dipersembahkan. Sambil digigit kecemburuan, dan membanding-bandingkan dengan diri yang kita rasa serba kekurangan; tidak ada wang untuk ditaburkan, tidak ada paras rupawan untuk menarik perhatian, tidak ada cerita untuk digembar gemburkan, tidak ada bakat untuk dibanggakan, tidak ada gambar percutian untuk ditayang, tidak ada segalanya yang bisa mendapat tempat di laman sesawang.
Kita terlupa bahawa kita juga ialah sutradara, fotografer hidup sendiri.
Yang lain terlihat sempurna, kerana kurangnya telah ditapis demi pelbagai sebab yang berhak. Sedang kita tak perlu sibuk membanding-banding sehingga merasa diri tidak layak, kerana hidup kita ialah lukisan yang kita sendiri corak.
Satu-satunya hal yang harus kita kerjakan, ialah bagaimana kita mampu memperbaiki lompong diri dan membersih hati agar keseharian kita menjadi lebih berkat. Kepada Tuhan, kita menjadi lebih dekat. Kepada kematian, kita menjadi lebih mesra dan bersiap. Kepada Akhirat, kita menjadi lebih waspada dan beringat-ingat, kerana setiap detik yang berdenting, ialah catatan yang dirakam Malaikat.
Sudah tiba masanya kita harus berhenti menilai setiap kesementaraan yang ada, dan membuka mata kepada yang benar-benar kekal selamanya, supaya kita tidak lagi diperdaya oleh fatamorgana yang sia-sia.
Bersiaplah, Zulhijjah telah tiba membawa untaian berita paling sarat, maka kita harus melangkah meskipun dengan hati paling berat. Kerana takdir yang telah tersurat mengandungi khazanah hikmah yang tersirat.
"Celupan Allah ; dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? dan kepadaNyalah kami mengabdikan diri." (2:138)